Pening
Siapa sangka? Lelaki yang lamarannya aku terima dengan harapan dia menjadi pelindung aku dan anak-anak dari dari penganiayaan kini menjadi lelaki yang meremuk-redamkan hati aku, mencalarkan garis luka di hati anak-anak kami?Hujung minggu yang kusam. Aku gundah tapi tenang. Tiap kali solat aku tak lupa berdoa supaya Allah tunjukkan aku jalan keluar yang terbaik. Supaya Dia menjadikan aku seorang hamba yang redha dengan segala ketentuannya. Aku sudah boleh menerima akan hakikat bahawa perkahwinanku akan berakhir sedikit masa lagi. Aku sudah tidak berupaya untuk menitiskan airmata walaupun dipaksa. Selama aku tidak pulang ke rumah dia memikirkan aku menumpang di rumah ‘teman lelaki’. Aku sudah serik berkongsi hidup dengan lelaki. Untuk aku mengambil teman lelaki selepas pengalaman ngeri aku dengan JS, tak mungkin! Aku diminta keluar dari rumah. Dia memberikan aku tempuh setahun. Aku memberikan diri sendiri tempuh dua bulan. Aku cuma mengangguk bila ditanya “Setuju?” Aku boleh mengambil kedua-dua anak kami asalkan dia tiada langsung dalam hidup mereka. Aku boleh hidup tanpa dia. Aku boleh membesarkan anak-anak aku walaupun tanpa pertolongan dia. Selama inipun, aku rasa hidup aku tak ubah seperti ibu tunggal. Masa untuk aku melawan sudah berakhir. Sekarang ni aku cuma mahukan jalan keluar yang mudah untuk aku dan anak-anak demi aqidah anak-anak aku. Aku sudah membuat pilihan. Demi menyelamat aqidah 3 insan, aku perlu korbankan dia. Aku sudah tidak boleh mengubah pendirian dia, cara hidup dia. Tapi aku masih punya peluang menyelamatkan anak-anak aku dari kekufuran. Itu tanggungjawabku sebagai ibu.
Semalaman aku tidak tidur. Aku cuba mengatur masa depanku dengan anak-anak. Aku bayangkan hari-hari lepas dari kerja bermain dengan mereka. Aku bayangkan kami bertiga sentiasa bersama. Aku bayangkan wajah riang anak-anakku di samping maktok dan sedara-sedaraku yang lain. Orang-orang yang terlalu kasihkan anak-anak aku. Aku bayangkan, kepulanganku ke tanah air meninggalkan seribu pengalaman pahit di rantau. Aku bahagia seketika.
Pagi ini ceritanya lain pulak. Dia menggertak untuk mendapatkan hak jagaan anak-anak. Aku tidak menunjukkan sebarang reaksi. Di dalam hati cuma Allah yang tahu betapa paniknya aku. Ya Allah, berikan hambamu sedikit lagi kesabaran dan mudahkan, Ya Allah, mudahkan.

<< Home