Tuesday, March 15, 2005

Pilihan Yang Bukan Pilihan

Dalam kereta balik dari kerja aku kena tampar lagi. Sampai berdarah bibir. Dia mengamuk sebab lama tunggu aku kat luar. Transponder aku kat dalam kereta tu habis dilontar ke luar tingkap. Melayang $50. Macam-macam hamburan sumpah-seranah keluar dari mulut dia. Aku tetap membatu. Dalam hati aku baca ayat-ayat kursi dan ayat pelindung yang aku ingat. Sampai di rumah babysitter aku keluar untuk mengambil anak-anak. Kami keluar dari rumah babysitte, JS sudah tak ada. Aku dan anak-anak ditinggalkan di rumah babysitter begitu sahaja. Aku ceritakan dengan NA tentang ribut yang sedang melanda rumahtanggaku. Dia risau akan keselamatan aku dan anak-anak. Tidak lama lepas tu JS datang balik. Horn kereta ditekan berkali-kali menyuruh aku dan anak-anak cepat.
Kereta aku dipandu dengan lasak. Tali keledar yang aku pakai ditanggalkan. Dia berharap tanpa tali keledar, aku akan terhumban ke cermin kereta bila dia membrek dengan tiba-tiba. Banyak kali dia cuba mencederakan aku begitu. Di rumah, anak ku yang sulung diajar memanggil aku dengan perkataan, “*undal!” dan “*elacur!” Ini cubaan Allah untuk aku. Besar dugaan ini aku pasti kerana Allah Maha Mengetahui aku masih boleh bertahan dengan dugaan ini. InsyaAllah, dia akan mudahkan hari-hari depan ku dan anak-anakku.
Sampai di rumah dia mengertak, mengherdik, menghentam aku lagi. Aku dipaksa memberitahu dia di mana aku bermalam seminggu lepas. Aku beritahu yang aku menumpang di rumah LS. Dia minta nombor talipon LS. Kawan sekerja dan suaminya pula jadi mangsa.Kami cuba berbincang berkenaan perceraian. Aku sebenarnya mahu bercerai semalam juga. Bagi aku, hubungan kami sebagai suami isteri sudah putus bila dia menghina ugama islam. Bila dia mengatakan, dia benci mengaku islam. Dia tidak suka aku mengajar anak-anak ku mengucap, dan adap-adap islam. Na’uzubillah. Sejak itu, aku sudah tidak lagi tidur bersamanya. Bagi aku, dia bukan lagi suamiku yang sah di sisi syarak. Tapi aku terpaksa terus tinggal sebumbung demi keselamatan anak-anak. Perkahwinanku masih dalam proses pengesahan di mahkamah syariah malaysia. Aku perlu tunggu sehingga hal ini selesai supaya aku boleh failkan perintah cerai dari malaysia. Aku perlu pastikan dia tiada hak langsung untuk menjaga anak-anak. Dia sudah murtad.
Pagi ini aku menalipon adikku. Aku cerita segala apa yang berlaku. Dia risau. Katanya, kaum keluarga di sini tak putus-putus berdoa untuk keselamatan aku dan anak-anak. Mereka faham akan situasi aku. Mereka sependapat, aku harus terus bertahan sehingga urusanku dengan pejabat agama selesai. Mereka juga takut aku akan kehilangan anak-anakku dalam proses undang-undang keluarga di sini. Aku juga takut kehilangan mereka. Semalam JS meminta kata putus dari aku. Mahu bercerai atau tidak. Jika kami bercerai dia akan mengfailkan hak jagaan anak-anak. Kalau dia tak dapat hak sepenuhnya, dia akan cubaan dapatkan hak separuh penjagaan. Dia boleh minta mahkamah melarang aku membawa keluar anak-anakku dari negara ini sehingga mereka dewasa. Kalau tidak mahu bercerai aku tidak boleh lagi mengajak dia melakukan solat, puasa dsbnya. Aku tidak boleh melarang dia menonggak arak. Keduanya bukan pilihan yang aku redha. Tapi aku terpaksa memilih. Jadi, bila di tanya lagi keputusan ku malam ini atau bila-bila aku akan katakan padanya, aku tidak mahu bercerai. Aku akan terus mengaku isterinya buat masa ini. Bila urusan dengan pejabat agama selesai dan semua pintu untuk aku lepas bebas dari sini terbuka luas, aku tidak akan menunggu walau sehari. Mudahkan, Ya Allah. Mudahkan.