Monday, March 21, 2005

Masalah Yang Tak Sudah-Sudah

Syukur, Isnin datang lagi. Aku sudah letih di rumah. Selagi aku dan dia di rumah, kami tidak akan habis berbalah. Aku jaga di dalam tidur. Berbagai sinario bermain-main di ruang kepalaku. Aku letih memikirkan masalah ini. Syukur ada anak-anak. Adanya mereka membuatkan hari-hariku lebih cepat beredar. Cubaan berbincang kerap berakhir dengan dia menengking aku. Akhir-akhir ini dia seakan tidak mahu berpisah pulak. Dia minta aku katakan apa yang sanggup aku lakukan untuk menyelamatkan rumahtangga kami? Fikirannya juga masih berbolak-balik antara mahu bercerai atau tidak. Aku kata aku keliru. Apa yang perlu dibincangkan lagi? Apa yang nak diselamatkan lagi? Bukankah petisyen perceraian sudah di tangan pejabat penghakiman. Kami cuma perlu tunggu kes dibicarakan saja. Katanya kami belum bercerai sehingga hakim meluluskan perceraian kami. Kengkadang lepas berjumpa kedua pasangan hakim boleh menasihatkan agar kami tidak bercerai, hakim boleh memaksa dia menghadiri kaunseling dan berbagai lagi. Aku agak diawalnya dia merasakan aku tidak akan bersetuju dengan perceraian, lalu dia mengikut perasaan marahnya dan membuat petisyen perceraian. Alasan yang dia berikan kepada aku ialah lepas dua tiga hari aku tidak pulang ke rumah, menghilang diri dengan anak-anak, dia fikir sudah sampai masa dia menceraikan aku. Aku kata, aku tak faham kenapa dia harus marah. Malam sebelumnya dia suruh aku keluar rumah. Kalau dia risau sangat dengan ketiadaan aku dan anak-anak, mengapa dia tidak menalipon aku bertanya khabar. Dia tahu nombor handphone aku, dia tahu tempat kerja aku. Dia berfikiran yang aku takut diceraikan kerana ‘malu’ dan ‘tidak berani hidup sendiri’. Harapannya, dengan berbuat begini mungkin aku akan mengubah sikap aku terhadap dia. Sekarang petisyen itu sudah tiada ditangan kami, dan dia ada masa berfikir dan aku pula masih tetap dengan pendirianku. Dia risau akan tepaksa berpisah dengan anak-anak. Melihatkan aku tetap dengan pendirian, dia mengubah pendirian lagi. Dia menyuruh aku membeli tiket kapalterbang untuk balik ke tanahair dengan segera. Dia suruh aku mula berkemas untuk pulang. Aku kata aku tak boleh berbuat begitu sehingga masalah kami selesai di mahkamah. Aku tak mahu peluang ke tanahair sehingga kami mendapat divorce decree mengatakan aku mendapat hak penjagaan penuh anak-anak kami. Aku tidak mahu dituduh menghina mahkamah dengan berada di luar negeri bila aku diminta hadir di mahkamah. Aku tak mahu dimasukkan ke dalam kategori pengganas kerana melarikan anak-anak aku keluar dari sini. Anak-anak aku masih rakyat negara ini. Suatu hari nanti aku mungkin terpaksa kembali ke sini demi anak-anak kami. Jadi aku tidak mahu ada apa-apa rekod jenayah. Memang aku rasa bersalah kerana bertangungjawab memutuskan hubungan anak-anak dengan ayah mereka. Tapi dia juga perlu sedar tindakan melulunya menurut perasaaan akan ada risikonya.
Hari ini di pejabat lain pulak masalahnya. Aku diberitahu LS yang JS telah meningalkan mesej talipon amaran kepada dia kerana membenarkan aku tinggal di rumahnya. Suami LS terdengar mesej yang JS tinggalkan. Dia marah. Dia pulak meninggalkan mesej amaran di talipon JS. JS pulak seakan hilang semua pertimbangan. Mesej amaran terus berpanjangan. Pagi ini, LS memberitahu aku yang dia akan menyerahkan kes ini kepada majikan JS untuk mengendali. Aku pening sangat. How in heaven’s name do I get myself into these?
Ya Rabbi! Janganlah hambaMu diuji dengan ujian yang lebih besar dari yang sanggup hamba tanggung, kurniakan keampunan kepada hamba, kasihanilah hamba. Amin Ya Rabb Al-‘Alameen.