Perang Lagi
Kami berperang besar lagi semalam. Aku beritahu dia yang LS dan suami dia akan melibatkan majikan tempat kerja JS kerana menganggu mereka. Apa lagi mengamuk bagai singa laparlah si JS. Aku yang jadi habuan. Sakit sebelah muka dan badan aku dipukul. Dia kata inilah akibat kalau aku melibatkan orang lain dalam masalah kami. Aku kata orang lain tak terlibat, cuma aku dia dan sikap panas baran dia. Dia mengertak akan mengapa-apakan keluarga LS. Ya Allah, syaitan jenis apa yang bersarang di dalam hati dia sampai dia hilang semua pertimbangan sampai ke tahap ini? Kalau tidak kerana tangisan anak-anak di bilik sebelah bila terdengar suara JS menengking aku, harus aku dipukul separuh mati semalam. Seumur hidup aku, ibu bapa aku tak pernah memukul aku seperti JS memukul aku. Setahu aku, ibubapa aku tak pernah bergaduh meninggi suara seperti aku dan JS. Setahu aku, bapa tak pernah marah dengan ibuku. Menegur, ya. Marah? Ibu kata dia seingat dia, bapa tak pernah marah.Dengan bengis dia mengherdik aku supaya mengemas barang-barang aku hujung minggu ini juga. Aku sudah tidak ada kuasa melawan. Aku cuma mahu lepas dari sini. Persetankan hutang aku di sini. Persetankan perasaan dia.
Aku menangis dalam talipon ketika bercakap dengan ibuku. Dia minta aku bersabar. Kalau boleh dia nak bercakap dengan JS. Minta JS jangan pukul aku lagi. Tapi dia tak tahu berbahasa inggeris. Dia hanya mampu menangis dan menyuruh aku bersabar. Ingat anak-anak. Demi aqidah anak-anak aku kena bersabar. Lebih baik sakit di dunia dari mendapat siksa Allah di akhirat kerana bertanggungjawab mengkufurkan anak-anak aku. Dia minta berkali-kali aku jangan melawan. Api jangan dilawan dengan api. Beberapa hari yang lepas aku ada menyuruh adik aku merujuk kepada Ustaz MA tentang kedudukan aku. Aku khuatir akan kedudukan perkahwinan kami di sisi syarak. Adakah kami masih sah sebagai suami isteri? Apa hukum aku tingal sebumbung denagn dia kalau aku rasa dia sudah murtad? Apa langkah yang aku patut ambil? Adik aku menceritakan dari A sampai ke Z tentang rumahtangga kami kepada Ustaz MA. Ustaz berpendapat dalam keadaan sebegini di mana aku khuatir akan keselamatan aku dan anak-anak, di mana aku takut anak-anak dilarikan oleh JS, dia kata aku diharuskan terus tinggal sebumbung. Dalam masa yang sama aku harus cuba menenangkan dia, cuba menarik dia balik ke lipatan islam, kalau boleh. Jika dia berdegil, aku perlu tunggu kes aku selesai di pejabat agama dan failkan perceraian dari malaysia. Apa-apapun aku mesti selamatkan anak-anak. IsyaAllah, tuhan akan buka jalan untuk aku dan anak-anak. Aku lega sedikit mendengar penjelasan ibu. Aku takut aku mendapat kutukan Allah kerana masih tinggal bersama.Pagi ini keadaan reda sedikit. Dia minta maaf. Tapi aku sudah tawar hati untuk menerima permohonan dia. Aku tanya kepada JS, apakah dia tidak nampak masalah rumahtangga kami bukan masalah ugama. Masalah rumahtangga kami berpunca dari sikap panas baran dan penyakit murungnya. Kalau tidak kerana hubungan aku dengan Penciptaku aku juga akan hilang akal berhadapan dengan masalah sebegini. Aku kata tiap kali dia mengajak aku tidur dengannya aku teringat masa-masa dia memukul aku. Aku jadi benci dengan dengan perangainya. Lalu aku manifestasikan kebencianku dengan langsung tak tidak mahu memperdulikan dia. Sebab itu sudah hampir setahun kami tidak bersama. Aku kata kalau boleh aku tak mahu mengambil anak-anak dari dia. Tapi kengkadang aku rasa aku tidak ada pilihan lain. Aku tak tahu apa sebenarnya yang dia mahu. Dia sendiri tidak tahu apa yang dia mahu. Sekejap dia kata dia sayang untuk berpisah dengan kakak. Sekejap dia mahu aku pergi dari sini. Sekejap dia risau kalau anak-anak membesar dengan penyakitnya. Akupun jadi bingung cuba mentelaah kehendaknya. Aku kata bila aku kenangkan balik siapa aku sebelum berkawhin dengan dia dan siapa aku sekarang, aku rasa malu sangat dengan diri sendiri. Macamana sampai aku boleh jadi begini? Di awal perkahwinan aku seorang yang periang. Aku ada keyakinan diri. Aku berani hidup sendiri mencari rezeki di negara asing. Sekarang ni aku rasa aku tiada keyakinan diri. Aku rasa lemah. Aku rasa rendah diri. Aku kata puncak malunya aku dengan diri sendiri ialah bila kami melawat mertua kami cuti musim panas tahun lepas. Aku bertungkus lumus buat itu buat ini, tak berhenti menukar lampin, menjaga anak-anak, memberi mereka dan dia makan. Kawan ibu mertuaku yang juga melawat mereka pada masa itu memerhatikan aku. Katanya, “You never stop, do you?” Sambil matanya melerek ke arah JS. Aku boleh baca di dalam pandangan matanya yang dia tahu aku takut dengan JS. Aku bagai menatang telur di hujung tanduk. Aku menangis semahunya lepas itu. Aku malu sangat dengan Kate. Kalau dia, yang hanya sekali itu berjumpa dengan aku boleh tahu, entah siap lagi yang tahu. Aku marah dengan diri sendiri kerana membiarkan aku masalah aku melarat sampai sejauh ini.
Lepas aku berhenti bercakap JS kata dia letakkan keputusan di tangan aku. Kalau aku rasa kami masih boleh diselamatkan, dia akan bekerjasama dengan aku. Dia kata aku perlu lebih berkomunikasi dengan dia. Aku kata bukan aku tak mahu berkomunikasi dengan dia tetapi kengkadang takut apa yang aku kata akan disalah ertikan oleh JS atau apa yang aku kata bukan sesuatu yang dia mahu dengar. Lalu dia melenting. Lalu kami bertengkar. Dia kata mungkin kami perlu orang ketiga yang boleh mendengar tanpa menyebelahi sesiapa. Aku mengiyakan. Dia perlu mencari kaedah terbaik mengatasi kemurungan dan kami perlu menghadiri kaunseling perkahwinan.Aku akan tunggu apa katanya petang nanti lepas urusan dia dengan bahagian staff tempat kerjanya selesai. Mungkin dia berubah lagi petang nanti. Aku harap tidak.

<< Home