Friday, April 08, 2005

Mendung Kembali

Aku dilanda kesedihan lagi. Semalaman tidur aku terganggu. Aku perlu membuat keputusan dalam sehari dua ini. Menurut kata JS, petisyen perpisahan kami sudahpun diwartakan di akhbar tempatan. Lepas ini dia akan berjumpa hakim untuk urusan selanjutnya. Seorang kenalan menalipon JS bertanyakan khabar, mempastikan berita. JS bertanya lagi keputusan aku. Aku rasa kejam sangat memisahkan kasih sayang bapa dengan anak-anaknya. Dia memaksa aku memilih antara aku meninggalkan bumi US dengan anak-anak aku dan memutuskan terus apa-apa hubungan antara kami atau kami berbaik semula tapi dia tidak mahu anak-anak dibesarkan sebagai muslim. Aku kata kalau boleh aku tidak mahu memisahkan dia dari anak-anak. Aku masih mahu dia menjadi sebahagian dari hidup mereka. Jika ini bermakna aku terpaksa terus tinggal di sini supaya dia dapat berjumpa anak-anak, aku redha. Asalkan hak jagaan penuh anak-anak di tanganku. Dan aku juga mahu anak-anak aku dibenarkan pulang ke tanahair berjumpa saudara-maraku tiap tahun seperti yang biasa kami lakukan. Dia tidak mahu. Tidak mahu melepaskan anak-anak jauh dari dia. Katanya kalau putus, biar putus langsung. Nanti dia tidak mahu dengar cerita kakak jatuh terluka sana, terluka di sini, dia tidak mahu dengar cerita kakak diganggu oleh orang itu dan orang ini. Aku kata, dari aku kecik sampai aku besar tak pernah ada saudara-mara atau jiran aku pernah cuba ‘ganggu’ aku. Anak-anak sedara aku yang perempuan pula dari kecil sampai ke besar diperhatikan kaum keluarga, ditatang bagai puteri-puteri. Tak pernah keluar rumah tanpa bertemankan salah seorang ibubapa atau abang. Dari kalangan kaum keluargaku tak ada yang pernah menggunakan dadah. Dia jangan memandai nak berprasangka yang bukan-bukan. Kalaupun banyak kes-kes sumbang mahram di tanahair, alhamdulillah, kaum keluarga aku baik lelaki atau perempuan faham hukum-hakam ugama.

Pagi ni dadaku rasa tertekan menahan sebak. Kakak agak cranky pagi ni. Tidak mahu langsung bermanja dengan JS. JS jadi kurang sabar dengan perangai kakak yang umurnya baru 3 tahun. Dalam kereta aku bertanyakan JS lagi, kalau aku pulang ke tanahair bagaimana dengan hubungan anak-anak kami dengan ‘grandparents’ mereka? Bolehkah aku terus berhubung dengan mereka? Jawapannya, “Cut all ties.” Dia tidak mahu aku berhubung dengan mertuaku atau adik-beradik dia yang lain. Katanya kalau aku berhubung juga, lambat-laun berita itu akan sampai ke telinganya juga. Dia tak mahu ambil tahu langsung paal aku dan anak-anak lepas kami tiada. Dan lagi, biar aku saja yang membesarkan anak-anak kerana dia tiada kesabaran melayan kerenah kakak dan abang. Aku lega sikit mendengar kata-katanya. Aku tahu dia tahu apa keputusan yang akan aku ambil.

Di pejabat aku sekali lagi menghubungi adik. Dia sudahpun membuat surat minta mahkamah mempercepatkan tarikh bicara kes aku. Ustazah di pejabat agama minta adik nasihatkan aku supaya jangan emosi di saat akhir. Katanya banyak kes macam aku di mana di saat akhir isteri terlalu emosi lantas tidak jadi bercerai kerana tidak sanggup berpisah. Katanya, apa-apapun aku harus meletakkan Allah dan aqidah anak-anak paling di atas. Bila rasa takut atau rasa khuatir, Ustaz MA nasihatkan aku supaya berserah sungguh-sungguh pada Allah. Semalam entah berapa kali aku tersentak dari tidur. Terjaga saja aku menangis. Aku istigfar sebanyak mungkin. Aku merayu sungguh-sungguh minta jalan yang akan aku ambil ini betul. Aku masih tertanya-tanya bagaimana boleh sampai jadi begini? Dalam hati aku masih mengharapkan hidayah untuk sampai kepada nya. Dia masuk islam kerana aku, dan seolah meninggalkan islam kerana aku juga. Itu yang aku sedih sangat.

Aku menangis dalam talipon bila bercakap dengan adik. Dia kata dia faham apa yang aku lalui. Tapi seberat dia memandang, berat lagi aku yang memikul. Tapi katanya ini lah harga sebuah perpisahan. Aku kena bersabar. Dia nasihatkan aku jangan khuatir berkenaan tindakan JS mahu memutuskan hubungan langsung dengan anak-anak. Sekarang dia bercakap dalam keadaan orang yang marah. InsyaAllah, masa depan kita tahu. Mungkin bila perasaan sudah stabil. Mungkin dia akan berfikir kembali betul atau tidak tindakannya. Dia faham aku mahu JS terus menjadi seorang muslim tapi perkara memberi dan mengambil hidayah ini bukan urusan aku. Itu hak Allah. Aku cuma boleh terus berdoa. Ajar anak-anak berdoa supaya Allah bukakan pintu hati bapa mereka untuk kembali. Itu saja.