Mendung Kembali
Aku dilanda kesedihan lagi. Semalaman tidur aku terganggu. Aku perlu membuat keputusan dalam sehari dua ini. Menurut kata JS, petisyen perpisahan kami sudahpun diwartakan di akhbar tempatan. Lepas ini dia akan berjumpa hakim untuk urusan selanjutnya. Seorang kenalan menalipon JS bertanyakan khabar, mempastikan berita. JS bertanya lagi keputusan aku. Aku rasa kejam sangat memisahkan kasih sayang bapa dengan anak-anaknya. Dia memaksa aku memilih antara aku meninggalkan bumi US dengan anak-anak aku dan memutuskan terus apa-apa hubungan antara kami atau kami berbaik semula tapi dia tidak mahu anak-anak dibesarkan sebagai muslim. Aku kata kalau boleh aku tidak mahu memisahkan dia dari anak-anak. Aku masih mahu dia menjadi sebahagian dari hidup mereka. Jika ini bermakna aku terpaksa terus tinggal di sini supaya dia dapat berjumpa anak-anak, aku redha. Asalkan hak jagaan penuh anak-anak di tanganku. Dan aku juga mahu anak-anak aku dibenarkan pulang ke tanahair berjumpa saudara-maraku tiap tahun seperti yang biasa kami lakukan. Dia tidak mahu. Tidak mahu melepaskan anak-anak jauh dari dia. Katanya kalau putus, biar putus langsung. Nanti dia tidak mahu dengar cerita kakak jatuh terluka sana, terluka di sini, dia tidak mahu dengar cerita kakak diganggu oleh orang itu dan orang ini. Aku kata, dari aku kecik sampai aku besar tak pernah ada saudara-mara atau jiran aku pernah cuba ‘ganggu’ aku. Anak-anak sedara aku yang perempuan pula dari kecil sampai ke besar diperhatikan kaum keluarga, ditatang bagai puteri-puteri. Tak pernah keluar rumah tanpa bertemankan salah seorang ibubapa atau abang. Dari kalangan kaum keluargaku tak ada yang pernah menggunakan dadah. Dia jangan memandai nak berprasangka yang bukan-bukan. Kalaupun banyak kes-kes sumbang mahram di tanahair, alhamdulillah, kaum keluarga aku baik lelaki atau perempuan faham hukum-hakam ugama.
Pagi ni dadaku rasa tertekan menahan sebak. Kakak agak cranky pagi ni. Tidak mahu langsung bermanja dengan JS. JS jadi kurang sabar dengan perangai kakak yang umurnya baru 3 tahun. Dalam kereta aku bertanyakan JS lagi, kalau aku pulang ke tanahair bagaimana dengan hubungan anak-anak kami dengan ‘grandparents’ mereka? Bolehkah aku terus berhubung dengan mereka? Jawapannya, “Cut all ties.” Dia tidak mahu aku berhubung dengan mertuaku atau adik-beradik dia yang lain. Katanya kalau aku berhubung juga, lambat-laun berita itu akan sampai ke telinganya juga. Dia tak mahu ambil tahu langsung paal aku dan anak-anak lepas kami tiada. Dan lagi, biar aku saja yang membesarkan anak-anak kerana dia tiada kesabaran melayan kerenah kakak dan abang. Aku lega sikit mendengar kata-katanya. Aku tahu dia tahu apa keputusan yang akan aku ambil.
Di pejabat aku sekali lagi menghubungi adik. Dia sudahpun membuat surat minta mahkamah mempercepatkan tarikh bicara kes aku. Ustazah di pejabat agama minta adik nasihatkan aku supaya jangan emosi di saat akhir. Katanya banyak kes macam aku di mana di saat akhir isteri terlalu emosi lantas tidak jadi bercerai kerana tidak sanggup berpisah. Katanya, apa-apapun aku harus meletakkan Allah dan aqidah anak-anak paling di atas. Bila rasa takut atau rasa khuatir, Ustaz MA nasihatkan aku supaya berserah sungguh-sungguh pada Allah. Semalam entah berapa kali aku tersentak dari tidur. Terjaga saja aku menangis. Aku istigfar sebanyak mungkin. Aku merayu sungguh-sungguh minta jalan yang akan aku ambil ini betul. Aku masih tertanya-tanya bagaimana boleh sampai jadi begini? Dalam hati aku masih mengharapkan hidayah untuk sampai kepada nya. Dia masuk islam kerana aku, dan seolah meninggalkan islam kerana aku juga. Itu yang aku sedih sangat.
Aku menangis dalam talipon bila bercakap dengan adik. Dia kata dia faham apa yang aku lalui. Tapi seberat dia memandang, berat lagi aku yang memikul. Tapi katanya ini lah harga sebuah perpisahan. Aku kena bersabar. Dia nasihatkan aku jangan khuatir berkenaan tindakan JS mahu memutuskan hubungan langsung dengan anak-anak. Sekarang dia bercakap dalam keadaan orang yang marah. InsyaAllah, masa depan kita tahu. Mungkin bila perasaan sudah stabil. Mungkin dia akan berfikir kembali betul atau tidak tindakannya. Dia faham aku mahu JS terus menjadi seorang muslim tapi perkara memberi dan mengambil hidayah ini bukan urusan aku. Itu hak Allah. Aku cuma boleh terus berdoa. Ajar anak-anak berdoa supaya Allah bukakan pintu hati bapa mereka untuk kembali. Itu saja.
Waiting Game
Beberapa hari ini aku jauh dari ofis. Anak-anak tidak sihat. Dua beradik dapat sakit mata. Hari-hari berlalu dengan begitu panjang kerana dia juga mengambil cuti sakit. Bila bercakap aku rasa kekok berhadapan dengan dia. Aku tiada perasaan benci kepadanya, cuma indifferent. Entah. Aku seperti sudah tiada langsung apa-apa perasaan terhadap dia. Makanan yang dihidangkan kepada diapun kerana sudah terbiasa. Habit dies hard. Beberapa kali kami cuba bercakap tapi berakhir dengan keberangan dia. Aku tidak mahu merangsang perasaan marahnya. Tapi entahlah. Apa yang aku perkatakan adalah kenyataan-kenyataan yang dia tidak mahu dengar atau tidak mahu terima. Memang begitu sikap dia. Mahukan cara dia sahaja. Dia sahaja yang betul. Aku bosan berbincang dengannya. Katanya kurangnya komunikasi antara aku dengan dia adalah penyebab utama keretakan rumahtangga kami. Itu memang aku akui. Aku sememangnya jenis yang kurang bercakap. Bagi pihak aku pula, aku merasakan keegoannya dan sikap panas barannya menjadi punca utama ketegangan rumahtangga kami. Bila aku cuba perbualan kami ke arah penyakit panas baran dan kemurungan dia, dia menukar arah seolah aku yang menjadi punca dia panas baran. Katanya aku bersikap seolah aku mahukan perceraian. Aku diam sahaja. Tidak menafikan. Tidak pulak mengiyakan. Biar dia sendiri cuba mentelaah fikiranku.
Minggu ini tuntutan perceraian lain pula bunyinya. Kali ini katanya jika mahukan perkongsian hidup kami berterusan aku perlu lebih berkomunikasi dengan dia, aku perlu longgarkan sedikit penghayatan aku terhadap islam, dan aku harus putus hubungan dengan keluarga aku. Apa yang boleh aku kata melainkan, “No deal.” Katanya kenapa beberapa melayu yang berkawin campur di tempat kami tidak mengahalang suami mereka minum di meja makan, tidak menegur suami mereka tidak melakukan solat, tidak pernah puasa. Mengapa aku tidak seperti mereka? “Exactly!” kata aku. “I am not them.” Dalam hati kecil aku boleh terima kalau dia minum arak atau tidak melakukan solat. Di luar sana ramai yang mengaku Islam tapi menonggak arak saban malam minggu, tidak puasa, tak pernah melakukan solat. Bagi aku, selepas aku mengajarkan tuntutan Islam terhadap dia, tanggungjawab aku sudah lepas. Samada dia minum atau tidak, solat atau tidak, puasa atau tidak adalah urusan dia dengan Allah. Tapi bila memperkecilkan ugama aku, memperkecilkan penghulu ugamaku, memperkecilkan kitab suci aku. Itu aku tak boleh terima. Bila aku sampai rasa tergugat untuk bersolat di dalam rumah sendiri aku rasa ruang untuk kami sebagai suami isteri sudah tidak ada lagi. Retak cuma menanti belah. Tiada rahmat dan berkat Allah dalam penyatuan ini. Aku tidak boleh teruskan tanpa redha Dia. Pada tanggapan dia, aku ini terlampau fanatik terhadap ugama. Aku kata, sebelum aku kenal dia aku sudah bersolat 5 kali sehari. Masa berkawan dengan dia, dia sudah tahu aku solat lima kali sehari, aku puasa sebulan. Aku tidak minum. Siapa aku sebelum dan selepas kami kawin tidak banyak beza. Sebelum berkawin aku juga memberi amaran kepada dia erti dia menjadi seorang muslim. Aku tidak berharap setinggi gunung yang dia akan menjadi muslim contoh sehari semalam. Aku berikan dia peluang belajar sedikit-sedikit. Keluarga aku walaupun tidak senang hati bila tiap kali kami ajak berjemaah ada saja alasan yang diberi, tidak memaksa. Kami berpendapat, sampai masanya Allah akan memberikan hidayah kepada dia, jangan dipaksa. Tapi dari mahu belajar sedikit-sedikit dia sehingga tidak mahu belajar langsung. Sehingga menafikan keislamannya. Dimulut. Di hati aku tidak tahu. Apa lagi ikhtiar aku. Tiap kali sujud aku berdoa dibukakan pintu hatinya untuk menilai indahnya islam. Mungkin belum masanya. Mungkin bukan dengan aku. Mungkin di sana ada guru yang lebih baik untuk membimbing dia ke jalan Allah. Mungkin dia perlu berada di tahap paling bawah sebelum dia boleh naik semula ke atas.
Hari Isnin aku sempat bercakap dengan adik aku di Malaysia. Cerita perkembangan aku di sini. Aku minta dia dan suami tolong gerakkan kes aku di mahkamah syariah. Mereka akan usahakan. Aku ceritakan pada adik aku yang kami di sini telahpun memulakan proses perceraian. Aku sebenarnya tidak tahu menahu-sangat berkenaan proses perceraian di sini. Masuk ofis hari ini aku cuba cari di laman web berkenaan perceraian. Aku takut kalau-kalau hak-hak aku dinafikan dalam proses di sini. Dalam petisyen perceraian yang difailkan 3–4 minggu lepas, anak-anak dilepaskan kepada aku. Mengikut keterangan yang aku dapat di
http://www.divorcefind.com/, aku tak perlu ada di sini untuk menerima petisyen perceraian berkenaan. Dalam masa yang sama aku tak berani pula untuk terus meninggalkan daerah ini. Takut aku jadi criminal pulak. Adik pula menasihatkan aku supaya bertenang dulu sebelum mengambil sebarang tindakan. Keluarga aku tidak putus-putus mendoakan keselamatan aku. Sebelum ini ibu tidak tahu masalah aku. Minggu lepas dia tahu sedikit. Kemudian adik menceritakan segalanya kepada ibu. Kata kakak aku ibu perlu tahu sebab doa ibu untuk anaknya lebih mudah diperkenankan Allah. Kakak dan abang pula tidak putus mendoakan penyelesaian yang terbaik untuk aku, anak-anak dan JS di depan kaabah. Aku bersyukur aku punya keluarga yang sangat prihatin terhadap aku walaupun kami berjauhan.
Apa-apapun aku akan cuba menggunakan mahkamah syariah. Kalau ms lambat, aku terpaksa melalui proses di sini. Tapi aku katakan pada adik aku, entah sehari dua lagi, entah sebulan lagi, kes kami akan dipanggil di sini. Jika JS cuba memprotes hak aku menjaga anak-anak aku, aku akan balik ke tanahair di hari yang sama. Aku tak boleh betunggu-tunggu lagi. Aku dalam proses membeli tiket pergi/balik terbuka untuk aku dan anak-anak. Aku bukannya berduit sangat sekarang, tapi demi hari depan, biarlah aku terpaksa berhutang. Tiket pergi balik bukannya murah. Mahu siap $2K untuk kami bertiga. Walaupun mahal, aku rasa perlu membeli tiket pergi balik supaya tiada syak wasangka bila cuba keluar dari sini kelak. Aku takut naik bendera merah bila pegawai jabatan imigresen dapati aku dan anak-anak hanya membeli tiket sehala. Benda-benda sebegini yang aku kena fikir. Kena cari laluan paling mudah untuk aku keluar dari sini. Aku takut dalam dunia serba canggih ini, maklumat aku melarikan anak-anak aku cepat tersebar. Takut aku kehilangan kakak dan adik. Satu sinario yang aku tak sanggup untuk bayangkan. Tapi aku yakin Allah tidak akan menyisihkan aku dari rahmat dan rahimNya. InsyaAllah seperti kata seorang pelawat, pahit akan datang manis. Every cloud has a silver lining. Aku yakin.